Tuesday, January 13

Wanita membohongi suami ahli neraka


ISTERI yang solehah ialah mereka yang patuh kepada perintah Allah dan rasul-Nya serta taat kepada suami dan tidak sesekali membohonginya.


Daripada Imam Ahmad dan Imam Muslim, daripada Ibnu Umar, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Bermula dunia ini ialah kesukaan dan keseronokan dan sebaik-baik kesukaan itu adalah wanita yang solehah.”

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda: “Mahukah kamu, aku beritahu daripada hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seseorang lelaki? Ia adalah isteri solehah.

“Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira; jika suami menyuruh sesuatu dia akan taati; dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara akan kehormatan dirinya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Berbohong kepada suami adalah berdosa.

Jika suami tidak reda dengan sikap pembohongan itu, akan kekal dosa isteri itu terhadap suaminya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Aku melihat dalam neraka, tiba-tiba ramai antara ahlinya adalah wanita. Maka seorang wanita bertanya: “Mengapa ya Rasulullah?”

“Rasulullah menjawab: “Mereka banyak bersumpah dan tidak berterima kasih kepada suaminya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis lain diterangkan daripada Ibnu Abbas, sesungguhnya seorang wanita daripada suku Khatam datang menemui Rasulullah dan bertanya: “Wahai Rasulullah, sampaikanlah kepadaku keterangan apa hak suami terhadap isteri?”

“Baginda bersabda: “Sesungguhnya, hak suami terhadap isteri itu ialah jika suami menghendaki dirinya, sekalipun dia berada di atas kenderaan, dia tidak menolak dirinya untuk memenuhinya, dan hak suami atas isterinya iaitu isteri tidak boleh puasa sunat tanpa izin suaminya, dan jika dia terus melakukannya, maka ia hanya akan mendapatkan lapar dan dahaga dan tidak diterima puasanya itu, dan isteri itu juga tidak boleh keluar rumah tanpa izin suaminya, jika dia tetap keluar, maka malaikat langit, malaikat rahmat serta malaikat azab akan mengutuknya sampai dia pulang.” (Hadis riwayat Thabrani).

Kecemburuan seorang suami terhadap isteri adalah fitrah yang dituntut oleh agama.

Suami yang tidak cemburu dengan kemungkaran dilakukan isterinya, tergolong daripada kalangan dayus.

Dayus ialah golongan yang dilaknat Allah dan diharamkan syurga ke atas mereka.

Dalam bab ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kecemburuan itu termasuk sebahagian daripada iman, midzak (membenarkan lelaki lain ke dalam rumah (juga rumah tangga) kemudian dibiarkan bersama isterinya itu, termasuk sifat munafik.” (Hadis riwayat Bazar dan Baiha).

No comments: