Tuesday, April 20

DIARY BONDA 2

sebahagian petikan Diary Bonda 2

Bermula dengan pertengkaran kecil sehari sebelumnya, suamiku mula diserang sakit jantung dan paru2 perair pada 22 mac 1997. keadaannya jadi gawat hingga terpaksa dimasukkan ke wad ICU. Selain daripada penyakit kencing manis yang dihidapinya dalam tahun 1995, satu daripada buah pinggangnya sudah tidak berfungsi sejak tahun 1981. namun sebagai isteri yang tabah, dalam apa keadaan jua pun, dia adalah suamiku. Walapun berbagai2 rupa badai yang melanda, aku akan tetap berada disampingnya. Walapupun bertubi2 bisikan syaitan yang menggoda, aku akan tetap membayangkan wajah suamiku saban detik.

Dalam masa doctor sedang berusaha memulihkan keadaan suamiku, Siti Rabiatul Khairiah, anakku yang bongsu pula menyulam. Dia selalu diserang demam malam. Kelam-kabut aku dibuatnya. Mana hendak menjaga suami, melayan Siti pun satu hal juga.

Alangkah berserabutnya mindaku waktu itu. Selepas 2 hari suamiku pulang ke rumah, Siti pula dimasukkan ke wad. Siti disahkan koma akibat daripada demam malam yang berlarutan. Suhu badannya yang tinggi membuatkan Siti langsung tidak mampu bergerak hatta jarinya sekalipun.

"Ya Allah.. dosa apakah yang telah aku lakukan hingga sebegini berat dugaan yang Kau berikan padaku. Andainya aku telah terlanjur melakukan kesilapan dan dosa, ampunkanlah aku. Ya Allah, berikan aku panduan untuk memperbaiki diri. Tolonglah aku ya Allah!"

"Sesungguhnya, aku ingin menjadi ibu dan isteri yang tabah namun ketabahanku kadangkala berada dipenghujungnya. meruncing dan bila2 masa saja akan jatuh rebah. ada kalanya imanku tergugat juga. kemampuan dan keupayaanku terbatas bila sering diuji begini. dengan belas kasihanMu aku mengharap dariMu, ya Allah, tetapkanlah imanku. berilah aku kesabaran dalam menghadapi apa sahaja bentuk ujianMu. kurniakan padaku ketakwaan. tanamkan rasa takut dari melakukan kesalahan dan segala dosa pada diriku. berkatilah permohonanku ya Allah." Aku tidak jemu2 meminta demi kasih dan sayangku pada mereka.

No comments: